Rabu, 20 April 2011

Santo Yusuf

Kelahiran Yusuf
Selama suatu tempoh Rahel tidak boleh mengandungkan anak. Namun Lea telah melahirkan ramai anak lelaki. Ruben merupakan anak sulung, kemudiannya adalah Simeon, Lewi, Yehuda serta Isakhar dan Zebulon. Rahel begitu ingin sekali mempunyai anak sehingga dia memberikan pelayan perempuannya Bilha kepada Yakub, sebagai isteri, agar anak-anak dilahirkan baginya. Bilha telah melahirkan dua anak lelaki yang dipanggil Dan dan Naftali.

Lea juga telah memberikan pelayan perempuannya Zilpa kepada Yakub sebagai isteri dan dia telah melahirkan dua lagi anak lelaki yang bernama Gad dan Asyer. Kemudian, Tuhan telah memberkati Rahel dan membenarkannya melahirkan seorang anak lelaki. Anak ini dinamakan Yusuf. Nama Yusuf bermaksud, “Allah telah menghapuskan aibku.” Rahel telah mati ketika melahirkan anak lelaki Yakub yang kedua belas dan terakhir yaitu Benyamin. Dengan itu, Yakub mempunyai anak lelaki berjumlah dua belas orang.

Mimpi-mimpi Kebesaran Yusuf
Sementara itu, Yusuf, anak kesayangan Yakub telah menjadi seorang anak muda. Pada umur tujuh belas tahun dia sudahpun bekerja keras di wilayah bapanya di Kanaan. Saudara-saudaranya juga melakukan kerja yang sama, namun mereka tidak menyukai Yusuf. Ini adalah kerana dia lebih dikasihi bapa mereka.  Yusuf juga menceritakan kepada bapanya mengenai beberapa perkara-perkara salah yang dilakukan abang-abangnya. Perbuatannya itu membuatkan abang-abangnya lebih tidak menyukainya.

Yakub, ketika ini, sudahpun tua. Yusuf telah menghabiskan banyak masanya sebagai anak muda bersama dengan Yakub. Hasilnya, Yakub mempunyai ikatan yang lebih kuat dengan anaknya Yusuf berbanding anak-anak lelakinya yang lain. Yakub telah memberikan Yusuf sehelai jubah yang maha indah. Saudara-saudara Yusuf melihat sikap pilih kasih bapa mereka terhadap Yusuf dan mereka dipenuhi kecemburuan.

Menambah kepada semua ini, Yusuf mempunyai mimpi-mimpi, yang menunjukkan dirinya sebagai seorang yang penting satu hari nanti. Di dalam mimpi Yusuf yang pertama, dia bermimpi bahawa dia dan saudara-saudaranya sedang mengikat berkas-berkas gandum di ladang. Kemudian, ketika mereka mengikat berkas-berkas ini, berkas gandum Yusuf telah bangkit dan tegak berdiri, sementara berkas-berkas lain sujud menyembah kepada berkasnya.

Di dalam mimpi Yusuf yang kedua, matahari, bulan dan sebelas bintang sujud menyembah kepadanya. Dia memberitahu mimpinya yang kedua ini kepada saudara-saudaranya serta bapanya. Bapa Yusuf berkata: “Masakan aku dan ibumu serta saudara-saudaramu sujud menyembah kepadamu sampai ke tanah?”

Disebabkan mimpi-mimpi ini, saudara-saudara Yusuf lebih membencinya lagi. Mereka menegurnya dan bertanya kepadanya sama ada dia benar-benar fikir bahawa dia akan memerintah ke atas mereka, atau mungkin bahawa satu hari nanti mereka akan sujud menyembah kepadanya?


Namun, tidak kira apa yang difikirkan saudara-saudara Yusuf, Yakub telah menyimpan mimpi-mimpi Yusuf di dalam fikirannya.

Yusuf Dijual Oleh Saudara-saudaranya
Sementara itu, saudara-saudara Yusuf telah pergi menggembala kambing domba bapa mereka di Sikhem. Setelah pergi selama beberapa hari dan Yakub tidak menerima sebarang berita dari mereka, dia mula risau. Oleh itu, Yakub telah mengutus Yusuf untuk pergi dan melihat bagaimana keadaannya serta membawa balik berita tentang mereka.

Selepas sampai ke Sikhem, seorang lelaki mendapati Yusuf merayau-rayau mencari saudara-saudaranya itu. Lelaki ini menghampirinya dan bertanya apa yang sedang dicarinya. Yusuf menjawabnya dan lelaki itu memberitahunya bahawa abang-abangnya itu telahpun pergi ke Dotan.

Kini, apabila saudara-saudara Yusuf melihatnya datang dari jauh, mereka berkata sesama sendiri, “Lihat tukang mimpi kita itu datang!” Kemudian sebelumpun Yusuf hampir kepada mereka, mereka sudah merancang untuk membunuhnya.

Namun, apabila Ruben anak lelaki tertua Yakub mendengar rancangan saudara-saudaranya untuk membunuh Yusuf, dia telah menahan mereka. Ruben menyuruh mereka untuk membuatkannya seolah-olah Yusuf telah dibunuh. Jadi sebalik betul-betul membunuhnya, mereka akan memasukkan Yusuf ke dalam satu sumur. Sebenarnya, selepas mereka berbuat begitu, Ruben merancang untuk mengeluarkan Yusuf dari sumur itu dan membawanya pulang.

Jadi, apabila Yusuf sampai kepada saudara-saudaranya, jubah maha indahnya telah ditanggalkan dan dia telah dilemparkan ke dalam sumur di padang gurun itu oleh saudara-saudaranya. Kemudian mereka duduk untuk makan. Sebaik saja mereka mula makan, mereka telah melihat sekumpulan kafilah orang Ismael yang datang dari Gilead dengan unta-unta mereka. Orang-orang Ismael ini dalam perjalanan ke Mesir dengan membawa banyak barang dagangan seperti damar, balsam dan damar ladan.

Apabila Yehuda abang Yusuf melihat para pedagang ini datang ke arah mereka, dia mendapat satu akal. Yehuda berkata kepada saudara-saudaranya, “Apakah untungnya kalau kita membunuh adik kita itu dan menyembunyikan darahnya? “

Sebalik membunuh Yusuf dengan tangan mereka sendiri, saudara-saudara Yusuf membuat keputusan untuk menjualnya sebagai hamba kepada orang-orang Ismael itu. Maka, Yusuf telah ditarik keluar dari sumur itu dan dijual abang-abangnya kepada orang-orang Ismael itu dengan harga dua puluh syikal perak.

Kemudiannya Ruben, selaku saudara paling tua dan kerana itu bertanggungjawab ke atas Yusuf, telah menggoyakkan jubahnya apabila menyadari bahawa dia tidak mempunyai sebarang alasan untuk menerangkan kehilangan Yusuf kepada bapanya Yakub.

Saudara-saudara Yusuf kemudiannya mendapat idea untuk menerangkan kehilangan Yusuf itu. Mereka telah mengambil jubah maha indah kepunyaan Yusuf, menyembelih seekor anak kambing, dan mencelupkan jubah Yusuf itu ke dalam darah anak kambing tersebut. Saudara-saudara itu kemudiannya telah membawa jubah itu kepada bapa mereka dan bertanya kepadanya sama ada jubah itu adalah milik Yusuf. (Sungguhpun mereka memang mengetahui ianya jubah Yusuf). Yakub mengenali jubah itu sebagai milik anaknya.

Yakub menggoyakkan jubahnya dan mengenakan kain kabung pada pinggangnya. Yakub berkabung ke atas kematian anaknya Yusuf selama berhari-hari lamanya. Keluarga Yakub cuba menghiburnya, namun Yakub menolak dari dihiburkan. Yakub kemudiannya mengisytiharkan bahawa dia akan berkabung ke atas kehilangan Yusuf sehingga hari kematiannya.

Yusuf sebagai Hamba Di Mesir
Orang-orang Ismael itu telah menjual Yusuf kepada Potifar. Potifar merupakan seorang pegawai Firaun Mesir, dan juga kepala pengawal raja.

Tuhan menyertai Yusuf di Mesir dan Tuhan telah menjadikan Yusuf seorang yang berjaya. Tuhan juga memberkati semua yang Yusuf lakukan, dan pada masa yang sama, berkat Tuhan dilanjutkan kepada keluarga tuannya itu. Tuan Yusuf, iaitu Potifar, melihat hal ini dan memberi kasih kepadanya dan menjadikan Yusuf sebagai penguasa rumahnya dan segala miliknya.

Sesudah semua ini, isteri Potifar memandang Yusuf dengan berahi. Kerana, Yusuf manis sikapnya dan elok parasnya. Isteri Potifar kemudiannya memintah Yusuf tidur dengannya. Namun Yusuf menolaknya.

Hari demi hari, isteri Potifar terus meminta Yusuf untuk tidur dengannya. Namun, kali demi kali, Yusuf menolaknya. Kemudian, suatu hari apabila tidak ada seorangpun di dalam rumah itu, isteri Potifar telah memegang jubah Yusuf dan cuba membuatkan dia tidur dengannya. Yusuf melarikan diri, dengan meninggalkan jubahnya di dalam tangan perempuan itu. Isteri Potifar kemudiannya memanggil seisi rumahnya. Apabila mereka tiba, dia berdusta mengenai Yusuf dan menuduhnya cuba memperkosanya.

Dengan itu, dia menyimpan jubah Yusuf sehinggalah Potifar pulang dan memberitahunya dusta yang sama mengenai Yusuf. Apabila Potifar mendengar ceritanya, dia menjadi marah dan memasukkan Yusuf ke dalam penjara di mana tahanan-tahanan Raja dipenjarakan.

Namun begitu, Tuhan tetap menyertai Yusuf dan menunjukkan belas kasihannya. Tuhan telah membuatkan Yusuf kesayangan kepala penjara itu, dan pengawal penjara memberi Yusuf kuasa ke atas segala yang dilakukan para tahanan di situ. Pengawal penjara tidak campur tangan di dalam segala yang dipercayakan kepada Yusuf.

Sewaktu Yusuf berada di penjara, terdapat suatu komplot untuk meracuni Firaun Mesir. Sebagai akibatnya, juru minuman dan juru roti Firaun telah dimasukkan ke dalam penjara itu bersama Yusuf. Potifar sendiri menyuruh Yusuf untuk melayani mereka. Ini memberitahu kita bahawa Potifar mungkin tidak benar-benar percaya bahawa Yusuf bersalah.

Selang masa berlalu, Yusuf telah menjadi agak rapat dengan kedua orang ini. Satu pagi dia melihat mereka kelihatan bersusah hati. Jadi dia bertanya apa yang merisaukan mereka. Mereka memberitahu padanya bahawa mereka berdua telah mengalami mimpi yang merunsingkan pada malam sebelumnya dan mereka tidak tahu apa artinya mimpi-mimpi itu. Yusuf, memandangkan dia seorang yang suka berkawan, meminta mereka memberitahunya mimpi-mimpi mereka itu. Dia tahu bahwa jika ada sesuatu yang ingin Tuhan sampaikan kepada mereka melalui mimpi-mimpi itu maka Dia akan menyatakannya.

Juru minuman itu telah bermimpi suatu pohon anggur yang mempunyai tiga cabangnya yang telah menghasilkan buah-buah anggur yang ranum. Kemudian dia telah memeras buah-buah anggur itu dan memasukkan airnya ke dalam cawan Firaun dan memberikannya kepadanya untuk diminum. Tuhan menolong Yusuf untuk memahami maksud mimpi ini. Dia memberitahu juru minuman ini bahwa dalam masa tiga hari dia akan keluar dari penjara dan akan mendapat semula pangkatnya sebagai kepala juru minuman.

Yusuf meminta juru minuman itu untuk mengingatinya setelah semua itu terjadi. Dia meminta juru minuman tersebut untuk memberitahu Firaun bahwa dia tidak bersalah dan sepatutnya tidak berada di dalam penjara. Namun kita dapati kemudiannya bahawa juru minuman itu telah lupa untuk berbuat begitu untuk suatu masa yang lama.

Mimpi juru roti itu tidak mempunyai arti yang menggembirakan. Dia bermimpi dia sedang membawa tiga bakul makanan di atas kepalanya kepada Firaun. Tetapi burung-burung yang lapar telah turun dan memakan makanan itu. Yusuf tidak berasa senang untuk memberitahu juru roti ini mengenai maksud mimpinya, namun dia tahu yang dia harus mengucapkan kebenarannya. Jadi dia memberitahu juru roti itu bahawa dalam masa tiga hari, Firaun akan memenggal kepalanya, menggantungkannya pada pohon dan burung-burung akan memakan dagingnya. Betapa ngerinya hal ini?

Tiga hari kemudiannya merupakan hari kelahiran Firaun. Selalunya diadakan pesta yang besar pada hari ini dan ada tahanan yang dilepaskan dari penjara sebagai kurniaan istimewa dari Firaun pada hari lahirnya. Seperti mana ditentukan, juru minuman itu telah dibebaskan dan diberikan semula jabatannya. Pada hari yang sama juru roti itu telah digantun dan burung-burung datang memakan dagingnya. Hal-hal ini terjadi sama seperti yang dikatakan Yusuf akan terjadi.


Yusuf Meninggalkan Penjara
Dua tahun berlalu, dan Firaun sendiri telah bermimpi dua mimpi yang membingungkannya. Dia telah memanggil semua ahli sihir di Mesir untuk cuba mencari erti mimpi-mimpinya. Namun tiada seorangpun dari mereka yang dapat memberitahu apa ertinya hal-hal yang pelik ini. Masa itu barulah juru minuman itu mengingati Yusuf. Dia memberitahu Firaun mengenai Yusuf serta bagaimana dia telah memberikan maksud yang betul kepada mimpinya dan mimpi juru roti tersebut.

Dengan itu, Firaun telah meminta supaya Yusuf dibawa kepadanya. Akhirnya Yusuf berpeluang keluar dari penjara. Setelah bercukur dan berpakaian, dia telah dibawa kepada Firaun. Yusuf memberitahu Firaun bahawa dia tidak mempunyai kuasa untuk memahami mimpi, melainkan Tuhan dan Dia akan memberikan jawapan melalui Yusuf.

Di dalam mimpi pertama Firaun sedang berdiri di tepi sungai dan keluarlah tujuh ekor lembu yang gemuk dari sungai itu. Kemudian dia melihat tujuh ekor lembu yang kurus dan buruk keluar dari sungai itu dan memakan tujuh lembu yang gemuk itu. Lebih pelik lagi adalah bagaimana tujuh lembu kurus itu tetap kurus selepas memakan tujuh lembu gemuk itu.

Di dalam mimpi kedua, Firaun melihat tujuh bulir gandum yang berisi tumbuh keluar dari satu tangkai. Kemudian tujuh bulir gandum yang kurus, yang ditiup angin, telah tumbuh dan memakan tujuh bulir yang baik itu (Keluaran 41:22-24).

Yusuf memberitahu Firaun bahawa kedua-dua mimpi itu mempunyai erti yang sama. Sebabnya adalah Tuhan ingin memastikan bahawa Firaun akan mendengar amaran mimpi-mimpi tersebut. Yusuf memberitahunya bahawa tujuh ekor lembu yang gemuk dan tujuh bulir gandum yang baik itu mewakili tujuh tahun bila mana terdapatnya kelimpahan makanan di Mesir. Tujuh ekor lembu serta bulir gandum yang kurus itu bermakna bahawa selepas tujuh tahun yang baik itu akan ada tujuh tahun yang buruk. Binatang ternakan akan mati dan tanam-tanaman akan gagal dan tidak akan ada cukup makanan untuk manusia mahupun haiwan. Ini bermakna bahawa suatu kebuluran akan berlaku di Mesir selama tujuh tahun.

Yusuf Dijadikan Penguasa di Mesir
Firaun mungkin cukup takjub dengan apa yang telah dinyatakan Tuhan Yusuf kepadanya. Dia bertanya Yusuf apa yang harus mereka lakukan untuk bersedia untuk kebuluran yang dahsyat ini. Yusuf menjawab “Oleh sebab itu, baiklah tuanku Firaun mencari seorang yang berakal budi dan bijaksana, dan mengangkatnya menjadi kuasa atas tanah Mesir. Baiklah juga tuanku Firaun berbuat begini, yakni menempatkan penilik-penilik atas negeri ini dan dalam ketujuh tahun kelimpahan itu memungut seperlima dari hasil tanah Mesir. Mereka harus mengumpulkan segala bahan makanan dalam tahun-tahun baik yang akan datang ini dan, di bawah kuasa tuanku Firaun, menimbun gandum di kota-kota sebagai bahan makanan, serta menyimpannya." Ini dilihat sebagai akal yang baik bagi para pemimpin Mesir. Dengan menyimpan gandum semasa tahun-tahun yang baik itu, mereka akan mempunyai makanan yang cukup untuk penduduk negeri itu apabila kebuluran itu datang. Mereka begitu kagum sekali dengan kebijaksanaan Yusuf, sehingga mereka memutuskan untuk melantiknya penguasa ke atas segala hal ini.

Yusuf taat kepada Tuhan sungguhpun segala-galanya kelihatan tidak baik di dalam hidupnya. Selepas melalui banyak masa-masa yang sukar, Tuhan telah memberikan berkat yang besar kepada Yusuf dengan menjadikannya penguasa ke atas negeri Mesir dan berpangkat kedua selepas Firaun. Ini juga merupakan suatu pelajaran yang baik untuk kita. Kita haruslah percaya pada Tuhan dan menurut Hukum-hukumNya, dan Dia akan sentiasa menjaga kita.

Dengan itu, tiga belas tahun selepas Yusuf dijual sebagai seorang hamba pada umur tujuh belas tahun, dia telah dijadikan penguasa di dalam bangsa yang terkuat di dunia pada masa itu. Dia kini berumur tiga puluh tahun. Firaun memberi Yusuf pakaian yang halus, cincin meterai untuk mengecap surat-surat penting, dan menggantungkan kalung emas pada lehernya. Dia juga memberikan Yusuf seorang isteri. Nama isterinya itu adalah Asnat dan dia adalah anak perempuan kepada imam.

Selang masa berlalu, Yusuf memerhati bagaimana tanam-tanaman menghasilkan makanan yang berlimpahan. Dia dapat melihat bahawa Tuhan sedang menunaikan janjiNya untuk tujuh tahun baik itu. Jadi dia telah mengumpulkan semua makanan lebihan itu di dalam kota-kota dan menyimpannya di dalam tempat-tempat khas untuk bersedia untuk tujuh tahun kebuluran itu. Begitu banyak sekali gandum yang disimpannya sehingga Yusuf tidak mampu menghitungnya semua.

Sebelum tahun-tahun kebuluran itu tiba, Yusuf telah menjadi bapa kepada dua anak lelaki. Nama mereka adalah Manasye dan Efraim. Berkat istimewa dari Tuhan ini menolong Yusuf untuk melupakan tahun-tahunnya bersendirian yang dihabiskannya di dalam penjara serta perkara-perkara tidak baik yang dilakukan saudara-saudaranya kepadanya.

Maka tujuh tahun yang baik berlalu dan tujuh tahun kebuluran bermula. Hujan-hujan berhenti; angin-angin yang panas mula bertiup; dan tanam-tanaman mula gagal. Ia sama seperti apa yang dikatakan Yusuf. Kebuluran itu terjadi di semua negeri-negeri, namun di Mesir terdapat makanan. Apabila orang-orang Mesir kehabisan makanan mereka sendiri, mereka berteriak kepada Firaun meminta pertolongannya. Firaun menyuruh mereka pergi kepada Yusuf dan melakukan apa saja yang dikatakannya.

Kebuluran itu terjadi di seluruh dunia dan Yusuf telah membuka semua tempat penyimpanan daan menjual gandum kepada orang-orang Mesir. Bukan itu saja, tetapi juga kepada semua negeri-negeri lain yang datang ke Mesir untuk membeli gandum dari Yusuf, kerana kebuluran itu begitu buruk sekali di semua negeri.

Dengan itu nubuatan Yusuf telah menjadi hakikat. Disebabkan dia menurut Tuhan dan menyimpan makanan untuk tahun-tahun kebuluran itu, ramai orang telah diselamatkan. Jika kita menurut Hukum-hukum Tuhan, Dia juga tidak akan melupakan kita.

sir untuk membeli gandum dari Yusuf, kerana kebuluran itu begitu buruk sekali di semua negeri.

Dengan itu nubuatan Yusuf telah menjadi hakikat. Disebabkan dia menurut Tuhan dan menyimpan makanan untuk tahun-tahun kebuluran itu, ramai orang telah diselamatkan. Jika kita menurut Hukum-hukum Tuhan, Dia juga tidak akan melupakan kita.

Saudara-saudara Yusuf pergi ke Mesir
Kebuluran itu telah tersebar kepada negara-negara lain selain Mesir, dan kerabat Yakub di Kanaan tidak terkecuali. Untuk sebab ini, apabila Yakub melihat bahawa sepuluh anaknya yang tinggal itu tidak pergi ke Mesir di mana bekalan gandum boleh dibeli, dia bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu berpandang-pandangan saja? Telah kudengar, bahwa ada gandum di Mesir."

Ingat dari karya sebelumnya, bahwa anak-anak Yakub yang lain telah memberitahunya bahawa seekor binatang liar telah membunuh Yusuf. Karena Yakub tidak mengingini apa-apa terjadi kepada apa yang dianggapnya satu-satunya anak Rahel yang masih hidup, maka Yakub tidak membenarkan Benyamin pergi sementara sepuluh saudaranya yang lain telah berangkat ke Mesir.

Setibanya mereka di Mesir, saudara-saudara Yusuf telah datang menghadapnya dan sujud menyembah dengan muka sampai ke tanah. Mereka melakukan ini sebagai tanda hormat kepada seorang yang penting. Kita ingat bahwa Yusuf merupakan pemerintah kedua selepas Firaun Mesir. Yusuf kenal siapa mereka dan dia teringat mimpinya ketika dia masih muda yaitu bagaimana saudara-saudaranya sujud menyembah kepadanya. Jadi, mimpi tersebut telah digenapi akhirnya.

Mereka tidak mengenali adik mereka Yusuf setelah sekian lama, kerana dia masih seorang pemuda ketika mereka menjualnya kepada perhambaan dan kini dia seorang yang lelaki yang dewasa. Juga dia kelihatan seperti seorang bangsa Mesir. Namun mereka mengenali kekuasaan orang yang berada di depan mereka itu. Yusuf ingin memberitahu mereka siapa dirinya dan ingin memeluk mereka, namun dia memilih untuk menunggu. Menyadari bahwa adiknya Benyamin tidak ada, Yusuf memulaikan salah satu dari dua ujian untuk saudara-saudaranya untuk memastikan mereka telah insaf daripada kesalahan-kesalahan mereka dahulu.

Saudara-saudara Yusuf menolak tuduhan-tuduhannya bahawa mereka adalah pengintai yang telah datang ke Mesir supaya mereka dapat melaporkan kelemahan Mesir kepada negara-negara musuh.

Lalu jawab mereka: "Hamba-hambamu ini dua belas orang, kami bersaudara, anak dari satu ayah di tanah Kanaan, tetapi yang bungsu sekarang ada pada ayah kami, dan seorang sudah tidak ada lagi."

Namun Yusuf meneruskan tuduhannya terhadap mereka. Dia tahu bahwa mereka bukanlah pengintai sebenarnya, namun dia membuat keputusan untuk memastikan bahawa pangkatnya serta kuasanya tetap menjadi tumpuan mereka. Dia melakukan ini dengan memastikan bahawa mereka tidak akan meninggalkan Mesir melainkan saudara mereka yang termuda datang ke Mesir sebagai bukti bahwa apa yang mereka katakan itu adalah benar.

Setelah menahan mereka di dalam penjara selama tiga hari, Yusuf membenarkan semua saudaranya kecuali seorang untuk kembali pulang kepada bapa mereka dengan gandum untuk menolong keluarga-keluarga mereka menempuhi kebuluran itu. Akhirnya, menyedari bahwa mereka melalui semua ini kerana apa yang telah mereka lakukan kepada Yusuf pada masa lepas, saudara-saudara ini membincangkan kesalahan mereka serta kemungkinannya mereka kehilangan nyawa mereka disebabkan perbuatan-perbuatan mereka pada masa lampau.
 
Yusuf berbahasa Mesir sementara saudara-saudaranya hanya dapat berbahasa Ibrani, jadi seluruh perbicaraan di antara saudara-saudara itu adalah melalui seorang juru bahasa. Orang ini dapat berbicara di dalam kedua bahasa. Namun Yusuf mengerti bahasa asalnya dan dia memahami apa yang dibicarakan oleh saudara-saudaranya itu. Dia berasa kasihan dengan saudara-saudaranya dan dia mengundurkan dirinya agar mereka tidak melihatnya menangis. Apabila Yusuf kembali, dia telah mengenakan belenggu kepada Simeon di depan mata saudara-saudaranya.
 
Saudara-saudara itu kembali ke Kanaan
Sebelum saudara-saudara yang telah dilepaskan itu memulakan perjalanan mereka kembali ke rumah bapa mereka Yakub, tanpa disedari mereka, Yusuf telah memerintahkan hamba-hambanya untuk memasukkan wang mereka kembali ke dalam karung gandum mereka. Mereka begitu takut sekali apabila mendapat tahu hal ini kerana mereka mungkin dipersalahkan kerana mencuri wang itu jika Yusuf mengetahuinya nanti.

Dapatkah kamu bayangkan ketakutan yang menyelubungi saudara-saudara ini yang percaya bahawa mereka akan mendapat balasan ke atas perbuatan-perbuatan mereka daripada seorang yang kuasanya kedua terbesar di dalam bangsa yang paling kuat di bumi! Apabila kita terfikirkan betapa susahnya kita menjawab kepada ibubapa kita kerana perbuatan kita, fikirkanlah betapa susahnya lagi untuk bertanggungjawab terhadap kesalahan-kesalahan kita terhadap para pemimpin negara kita!

Setelah kembali ke tanah Kanaan, saudara-saudara itu terus pergi kepada Yakub dan memberitahunya segala yang telah berlaku kepada mereka di Mesir. Apabila Yakub melihat pundi-pundi wang dari karung-karung anak-anaknya itu, dia juga menjadi takut. Kerana, Yakub percaya Yusuf dan Simeon telahpun mati, dan sekarang ini Benyamin juga diminta untuk kembali bersama anak-anaknya yang lain ke Mesir. Sebagai anak lelaki sulung, Ruben coba meyakinkan bapanya bahwa jika Benyamin berada di bawah penjagaannya, dia akan pastikan bahwa Benyamin akan pulang bersama mereka, malah mempertaruhkan nyawa kedua anaknya sendiri.

Merisaukan kecelakaan yang mungkin menimpa Benyamin di dalam perjalanannya nanti, Yakub tidak membiarkannya pergi buat masa itu. Mengetahui betapa kasihnya ibubapa kita terhadap kita, seperti mana Tuhan juga mengasihi anak-anakNya, ianya senang untuk memahami betapa sukarnya untuk Yakub meletakkan Benyamin ke dalam sesuatu keadaan yang mengancam hidupnya, lebih-lebih lagi apabila Yakub percaya bahawa dia sudahpun kehilangan dua orang anak.

Namun, apabila kebuluran itu menjadi begitu teruk sekali, Yakub tidak mempunyai pilihan lagi kecuali untuk membiarkan Benyamin pergi ke Mesir bersama anak-anaknya yang lain untuk mendapatkan makanan. Kali ini, Yehuda menanggung keselamatan Benyamin. Yehuda berjanji bahwa jika ada apa-apa terjadi kepada Benyamin, kesalahan itu akan ditanggungnya selamanya.

Yakub akhirnya setuju bahawa Benyamin terpaksa kembali bersama anak-anaknya yang lain ke Mesir, kerana anak-anak serta cucu-cucunya yang lain sedang menderita akibat kebuluran tersebut. Namun, untuk memastikan mereka tidak pergi ke Mesir dengan tangan kosong, Yakub telah menghantar bersama mereka sedikit balsam dan sedikit madu, damar dan damar ladan, buah kemiri dan buah badam sebagai persembahan.

Bersama persembahan-persembahan ini, anak-anak itu juga harus membawa bersama mereka dua kali ganda wang yang telah mereka bawa di dalam lawatan pertama mereka ke Mesir. Mereka juga disuruh untuk mengembalikan wang yang dijumpai di dalam karung-karung mereka itu, seandainya wang itu tertinggal di dalam karung-karung mereka dengan tidak sengaja.

Sewaktu mereka mula berangkat, Yakub mengisytiharkan, “Allah Yang Mahakuasa kiranya membuat orang itu menaruh belas kasihan kepadamu, supaya ia membiarkan saudaramu yang lain itu beserta Benyamin kembali. Mengenai aku ini, jika terpaksa aku kehilangan anak-anakku, biarlah juga kehilangan!."

Pada peringkat ini di dalam kebuluran tersebut, Yakub menyedari bahawa lebih ramai nyawa lagi yang mungkin hilang selain hanya nyawa Benyamin dan anak-anaknya yang lain jika dia tidak mengisi semula bekalan makanan keluarganya. Dengan membiarkan dirinya mungkin berdukacita atau kecewa dengan kehilangan Benyamin, dan mengutus semula anak-anaknya yang lain ke Mesir, Yakub menunjukkan kesediaannya untuk mengorbankan Benyamin, agar keluarganya selebihnya dapat terus hidup untuk masa depan.

Apabila Yusuf melihat saudara-saudaranya kembali bersama Benyamin, dia menyuruh ketua rumahnya untuk menyembelih seekor binatang sebagai persediaan untuk suatu majlis kemeriahan yang akan diadakan di rumahnya. Sebaik saja saudara-saudara itu dibawa terus ke rumah Yusuf, mereka serta-merta berasa takut atas sebab-sebab yang mungkin kenapa mereka telah dibawa ke sana. Dengan menganggap sebabnya sebagai wang yang telah ditemui di dalam karung-karung gandum mereka dari lawatan sebelumnya, mereka menemui ketua rumah itu untuk menjelaskan situasi mereka. Jelas mengetahui keadaannya, ketua rumah Yusuf meyakinkan saudara-saudara itu bahawa kehadiran mereka di situ adalah untuk sebab-sebab yang baik.

Setelah membasuh kaki mereka yang telah kotor daripada perjalanan mereka, meminum air, dan memberi makan kepada keledai mereka, saudara-saudara tersebut menyediakan persembahan mereka untuk kedatangan Yusuf pada waktu tengah hari.

Apabila Yusuf tiba dia dipersembahkan persembahan-persembahan tersebut dari Yakub. Dia bertanya mengenai bapa mereka dan diberitahu bahawa dia masih lagi hidup dan sihat sejahtera. Sementara saudara-saudaranya sujud kepadanya, Yusuf mengenali dan berkata kepada adiknya Benyamin, “Allah kiranya memberikan kasih karunia kepadamu, anakku!” Yusuf pun merasa begitu ingin untuk memeluk Benyamin. Jadi, sekali lagi dia telah mengundurkan dirinya dari saudaranya untuk menyembunyikan perasaannya dan juga identitinya yang sebenar. Apabila Yusuf kembali, semua orang telahpun duduk mengikut bangsa dan pangkat mereka di dalam keluarga.

Oleh kerana orang-orang Mesir menganggapnya suatu kekejian untuk makan bersama orang-orang Ibrani, mereka duduk berasingan dari keluarga Yusuf. Saudara-saudara Yusuf begitu hairan melihat bahawa orang ini, yang dianggap mereka tidak benar-benar tahu mengenai keluarga mereka, telah mendudukkan betul-betul mengikut susunan lahir serta umur mereka. Bukan itu saja, mereka mungkin juga heran kenapa Yusuf memastikan Benyamin mendapat sajian lima kali ganda lebih besar daripada yang lainnya.


Cawan Yusuf
Ujian kedua yang digunakan Yusuf ke atas saudara-saudaranya adalah meletakkan Benyamin ke dalam posisi bersalah yang membawa maut. Untuk mencapai ini, Yusuf menyuruh  kepala rumahnya untuk sekali lagi mengembalikan wang saudara-saudaranya ke dalam karung-karung mereka, tetapi untuk karung Benyamin pekerjanya itu juga disuruh untuk memasukkan piala/cawan perak Yusuf. Jadi, setelah saudara-saudara itu berangkat pergi bersama keledai-keledai mereka setibanya fajar, kepala rumah Yusuf telah mengikuti mereka. Apabila dia menghampiri mereka, dia telah menuduh mereka mencuri harta pribadi tuannya yang telah melayani mereka dengan baik.Mereka sekali lagi telah menafikan tuduhan terhadap mereka dengan mengatakan:
Tidak sabar-sabar untuk membuktikan mereka tidak bersalah, mereka dengan cepat membuka karung-karung mereka untuk diperiksa. Masa itulah, setelah mencari dari yang paling tua kepada yang paling muda, piala perak itu ditemui di antara barang kepunyaan Benyamin. Seperti mana adat pada masa itu apabila seseorang itu begitu beremosi sekali, saudara-saudara itu telah menggoyakkan jubah-jubah mereka. Mereka berasa bersalah dan takut untuk hidup saudara mereka yang termuda dan mungkin juga untuk hidup mereka sendiri. Sekali lagi mereka akan perlu berbincang dengan Yusuf, jadi saudara-saudara itupun kembali ke kota.
 
Sambil mengaku perhambaan serta kesalahan mereka ke atas apa yang telah terjadi dengan piala perak itu, di samping kesalahan-kesalahan mereka yang lalu, mereka sekali lagi telah sujud menyembah Yusuf. Melihat sikap rendah diri mereka itu, Yusuf berkata kepada mereka, “Pada siapa kedapatan piala itu, dialah yang akan menjadi budakku, tetapi kamu ini, pergilah kembali dengan selamat kepada ayahmu."

Oleh sebab piala perak itu kedapatan bersama dengan Benyamin, dia menghadapi risiko dijadikan hamba kepada Yusuf, yang merupakan penguasa Mesir. Menyadari bahawa apa yang sedang berlaku kepada Benyamin menyamai apa yang telah dilakukan mereka kepada Yusuf semasa mudanya, membuatkan saudara-saudara itu berasa sangat bersalah. 

Yehuda cuba menyelamatkan Benyamin
Bagi Yehuda, jawabannya jelas. Dia takut bahwa bapanya tidak akan lama hidup dan bahwa dosa tersebut akan ditanggungnya untuk selamanya jika dia tidak membawa Benyamin kembali ke Kanaan. Sambil berharap untuk menjelaskan situasinya, Yehuda menghampiri Yusuf untuk menceritakan semula seluruh ceritanya tentang apa yang berlaku. Yehuda kemudiannya merayu kepada Yusuf.

Yusuf mendedahkan siapa dirinya
Yehuda telah memainkan peranan yang besar di dalam menculik Yusuf dan menjualnya kepada perhambaan. Apabila Yusuf mendengar Yehuda mengatakan bahwa dia sanggup menyerahkan hidupnya sendiri demi hidup adiknya, Yusufpun tidak tertahan lagi dan menangis di depan semua yang ada di situ. Sebaik saja semua hamba-hamba Mesirnya telah keluar dari bilik itu, Yusuf memberitahu saudara-saudaranya siapa dia sebenarnya.

Setelah persatuan semula mereka yang penuh tangisan, Yusuf memberitahu saudara-saudaranya bahwa mereka tidak bersalah kerana menjualnya sebagai hamba; kerana disebabkan Tuhan-lah, dia telah tiba di situ di mana dia menjadi orang kedua kepada Firaun dan penyelamat nyawa sewaktu masa kebuluran itu.

Ketika Firaun mendengar khabar dari hamba-hamba rumahnya bahawa saudara-saudara Yusuf telah datang. Firaun serta pegawai-pegawainya bergembira untuk Yusuf. Sebagai hasilnya, Firaun telah menyuruh Yusuf untuk mengutus saudara-saudaranya kembali ke Kanaan, mengambil bapa mereka dan semua harta milik Yakub, dan kembali semula ke Mesir. Firaun akan memberikan Yakub kawasan tanah yang terbaik di Mesir, yang juga dikenali sebagai ‘kesuburan tanah’. Yusuf melakukan seperti yang diperintahkan Firaun.

Yusuf telah memberikan saudara-saudaranya salinan pakaian, namun kepada Benyamin diberikannya lima salinan pakaian dan tiga ratus keping perak. Untuk ayahnya, Yusuf telah mengirim sepuluh keledai jantan yang dimuati dengan apa yang paling baik di Mesir, dan sepuluh ekor keledai betina yang dimuati dengan gandum dan roti dan makanan untuk ayahnya dalam perjalanan.

Setelah tiba di tanah Kanaan, saudara-saudara Yusuf memberitahu bapa mereka bahawa Yusuf masih hidup lagi dan kini merupakan penguasa Mesir. Mulanya, Yakub tidak mempercayai anak-anaknya itu, mungkin karena penipuan mereka pada masa lampau di mana mereka telah memberitahu dia bahawa Yusuf telah dibunuh oleh hewan liar ketika masih muda. Namun, sebaik saja Yakub melihat keledai-keledai itu dan segala yang telah dikirimkan kepadanya dari Mesir, Yakub mempercayai bahawa Yusuf memang benar-benar masih hidup. Ini membuatkan Yakub sangat gembira. Maka, Yakub memberitahu anak-anaknya yang lain bahawa, tanpa berlengah-lengah lagi, dia akan pergi ke Mesir untuk melihat Yusuf sebelum kematiannya.

Yakub dan anak-anaknya berjalan ke Mesir
Maka Yakub dan anak-anaknya serta semua keluarga mereka telah berangkat ke Mesir bersama segala kepunyaan mereka. Di dalam perjalanan, Yakub telah diberitahu di dalam suatu penglihatan atau mimpi oleh Malaikat Yahovah untuk tidak takut pergi ke Mesir, kerana Tuhan mempunyai rencana untuk keluarganya di sana (Kejadian 46:1-3).

Apabila Yusuf mendengar bahawa bapanya ada di dalam perjalanannya, dia pergi ke Gosyen untuk menemuinya. Bayangkanlah kesukacitaannya apabila Yakub bertemu semula dengan anak kesayangannya setelah bertahun lamanya dan lebih-lebih lagi memikirkan dia sudah mati. Jadi mereka menangis kegembiraan. Yakub kini bersedia untuk mati kerana dia telahpun menemui Yusuf semula (Kejadian 46:29-30).

Yusuf memberitahu saudara-saudaranya untuk memberitahu Firaun bahawa mereka sudah biasa memelihara binatang ternakan. Kebanyakan orang Mesir tidak menyukai orang yang melakukan pekerjaan ini, kerana kambing lembu adalah suci bagi mereka (Kejadian 46:31-34).

Lima dari saudara-saudara itu telah dibawah menghadap Firaun dan apabila dia mendengar bahawa mereka adalah penternak kambing lembu, Firaun memberitahu Yusuf untuk membiarkan mereka tinggal di tanah Gosyen. Ini merupakan tempat yang paling baik untuk binatang ternakan dan tidak ramai bangsa Mesir yang tinggal di situ, jadi Yusuf gembira untuk keluarganya (Kejadian 47:1-6).

Seterusnya Yusuf telah membawa ayahnya ke hadapan Firaun dan dia begitu menghormati Yakub. Apabila ditanya umurnya Yakub menjawab bahawa dia telah hidup selama 130 tahun (Kejadian 47:7-9). Selepas itu, Yusuf menempatkan ayah dan saudara-saudaranya serta keluarga mereka di Gosyen. Dia juga memastikan mereka mempunyai cukup makanan untuk dimakan (Kejadian 47:10-12).

Kebuluran itu berterusan
Sementara itu, kebuluran itu bertambah buruk dan rakyat terpaksa membayar untuk gandum yang mereka dapat dari Yusuf, namun lambat laun wang itu habis. Ini juga menunjukkan bahawa mereka tidak betul-betul bersedia untuk masa-masa yang sukar dengan menyimpan wang mereka ketika masa-masa yang baik di mana mereka mempunyai kelimpahan (Kejadian 47:13-15).

Namun rakyat tersebut kelaparan dan merayu meminta makanan. Yusuf kemudiannya memberitahu mereka bahawa mereka boleh membawa binatang-binatang mereka untuk digantikan dengan makanan. Namun lama kelamaan mereka juga kehabisan haiwan dan mereka sekali lagi merayu. Kali ini mereka menjual tanah milik mereka kepada Firaun agar mereka dapat makan. Seluruh rakyat telah menjual tanah mereka kerana kebuluran itu begitu buruk sekali. Dengan itu, penduduk kemudiannya telah dipindahkan ke kota-kota untuk hidup di sana dan mereka diberik makan di sana sehinggalah kebuluran itu tamat. Satu-satunya tanah yang tidak dijual adalah tanah yang dimiliki para imam Mesir. Mereka telah diperuntukkan bahagian makanan dari Firaun (Kejadian 47:16-22).

Setelah masa sukar itu berlalu, rakyat negeri itu telah diberikan biji benih untuk ditanam dan mereka diperlukan memberi kepada raja sebanyak satu perlima dari semua hasil mereka. Empat bahagian selebihnya adalah milik mereka. Rakyat senang dengan rancangan ini, lebih-lebih lagi kerana mereka telah diselamatkan daripada kelaparan. Sama seperti yang dikatakan Yusuf, tujuh tahun kebuluran itu akhirnya tamat dan hujanpun akhirnya datang (Kejadian 47:23-26).

Yakub mengambil anak-anak Yusuf sebagai anak angkat
Bapa dan saudara-saudara Yusuf telah berada di Mesir selama tujuh belas tahun apabila khabar datang kepada Yusuf bahawa bapanya sakit tenat. Jadi dia telah membawa anak-anaknya, Efraim dan Manasye dan pergi kepada bapanya. Yakub memberitahu Yusuf apa yang telah dikatakan Malaikat itu kepadanya lama dahulu, bahawa suatu bangsa yang besar akan muncul daripadanya dan tanah Kanaan akan diberikan kepada keturunan-keturunan yang datang selepas Yakub (Kejadian 48:1-4).

Yakub kemudiannya memberitahu Yusuf bahawa dia ingin menjadikan anak-anaknya itu sebagai anak-anak angkatnya, supaya mereka dapat dimasukkan bersama anak-anaknya yang lain di dalam berkat-berkat serta janji-janji yang dibuat oleh Tuhan. Dengan melakukan ini dia memastikan bahawa Efraim dan Manasye akan tetap berada di dalam keluarga itu dan tidak bercampur dengan keluarga-keluarga Mesir (Kejadian 48:1-5).

Yakub memberkati Yusuf dan anak-anaknya dan memberitahu Yusuf bahawa Tuhan akan menyertainya dan membawanya kembali ke negeri nenek moyangnya (Kejadian 48:21-22). Kemudian Yakub memberkati kesemua anak-anaknya yang lain. (Kejadian 49:1-2) Setelah semua ini Yakub menghembuskan nafasnya yang terakhir dan mati (Kejadian 49:29-33).

Yusuf meratapi ayahnya dan menciumnya. Kemudiannya dia memerintahkan para tabib Mesir untuk menyediakan tubuh bapanya untuk dikebumikan. Pengawetannya mengambil masa empat puluh hari; selepasnya terdapat suatu tempoh perkabungan yang lama untuk Yakub. Setelah semua itu berlalu Yusuf memberitahu Firaun bahawa bapanya telah membuatnya bersumpah bahawa dia akan mengembalikan badan bapanya itu ke Kanaan. Firaun memberitahunya untuk melakukan apa yang diminta bapanya. Oleh itu, saudara-saudaranya serta kesemua pegawai Firaun dan para tua-tua rumahnya serta semua para tua-tua Mesir telah pergi bersamanya. Apabila sampai ke sana, perkabungan selama tujuh hari lagi telah diadakan. Sesudah itu mereka semua kembali ke Mesir, sedia maklum bahawa mereka telah menunaikan janji mereka kepada bapa mereka (Kejadian 50:1-14).

Melalui semua ini Yusuf akhirnya didamaikan dengan saudara-saudaranya. Segala masalah-masalah mereka yang lalu akhirnya telah dikesampingkan. Dia meyakinkan saudara-saudaranya bahawa dia akan menanggung keperluan mereka dan keluarga-keluarga mereka (Kejadian 50:15-21). Yusuf tidak ingin membalas dendam ke atas perkara-perkara jahat yang telah dilakukan saudara-saudaranya kepadanya. Begitu juga kita tidak seharusnya membalas dendam terhadap mereka yang menyakiti kita. Tuhan akan menguruskan semua hal ini untuk kita jika kita percaya pada Dia.

Kematian Yusuf
Yusuf terus hidup di Mesir bersama saudara-saudaranya dan keluarga-keluarganya sehinggalah dia meninggal dunia. Sewaktu hampir mati, dia memberitahu umatnya bahawa Allah Benar yang Tunggal ada menyertai mereka dan akan membawa mereka keluar dari Mesir (Kejadian 50:15-26). Yusuf tidak pernah melupai janji-janji Tuhan (Kejadian 15:16; 46:4; 48:21). Dia kemudiannya meminta saudara-saudaranya bersumpah bahawa mereka akan membawa tulang-tulangnya keluar dari Mesir apabila Tuhan menunaikan janji ini. Kita tahu daripada Alkitab bahawa Musa telah membawa tulang-tulang Yusuf keluar dari Mesir beratus tahun kemudiannya (Keluaran 13:19). Yakub juga telah memohon permintaan yang sama  dari anak-anaknya ketika hampir mati (Kejadian 47:29-31).

Yusuf telah hidup selama seratus sepuluh tahun. Tubuhnya diawetkan dan dikuburkan di Mesir. Umat Mesir menganggapnya suatu rahmat ilahi untuk hidup begitu lama.

Dari karya ini diharapkan bahawa kita akan menyedari serta menghargai dengan lebih baik ujian-ujian serta proses-proses pembelajaran yang dialami saudara-saudara Yusuf. Kita boleh terapkan ajaran-ajaran ini kepada sikap-sikap kita sendiri serta keputusan-keputusan yang kita lakukan sepanjang kehidupan kita.